Wednesday, March 28, 2012

Pos ke-16 : Luar Biasa yang Klise Mencetuskan Klise Luar Biasa


Bermula tahun lepas, kita dapat lihat senario baharu di Malaysia yang mana berlaku lambakan filem bergenre yang lebih kurang semuanya, dari seram, komedi seram, rempit hinggalah ke gangsterisme. Tapi entahlah kenapa industri kita seolah-olah terhad pada genre-genre ini sahaja. Fenomena ini, secara intelektualnya, jelas menonjolkan kemandulan minda pengarah dan penulis skrip, dan yang menyumbang idea (kalau idea yang diulang-ulang itu masih boleh digelar idea). Atau mungkin bagi mereka itu sesuatu yang masih luar biasa pada pandangan rakyat marhaen yang menjalani kehidupan normal. hai


LUAR BIASA BAGI ORANG BIASA-BIASA, MUNGKIN...


Berkaitan dengan "orang biasa tak tahu benda mistik/ganas macam ni" atau "dia orang ni orang luar, tak tahu dunia kita", saya juga sebenarnya ada mengalami situasi yang lebih kurang serupa.


Sewaktu bekerja sebagai pengawal keselamatan sementara menunggu keputusan SPM, saya boleh dikatakan sempat 'membuat kawan' dgn beberapa rakan sekerja yang kononnya banyak mengetahui tentang dunia mistik dan dunia gelap masyarakat Malaysia, khususnya berkaitan orang muda. Walaupun saya kurang berminat, namun secara jujurnya saya agak berminat tentang sesetengah ceritanya, dan salah satu yang saya ingat adalah tentang rantai babi tunggal.


Rantai babi tunggal ini katanya, kalau dipakai, buat si pemakai itu jadi kebal, secara fizikalnya. Rantai itu sebenarnya maya, namun dapat dilihat ketika babi yang dikatakan memakai rantai itu menanggalkannya untuk mandi Seterusnya, biasalah, ada la hidangan yang perlu dijamu sama ada hidangan hakiki mahupun rohani,mungkin. Saya tak bertanya lanjut tentang itu.

Selain itu saya juga ada mengenali rakan sekerja saya yang pernah melakukan hubungan seks seawal Tingkatan 5. Ada juga Tingkatan 1. Malah, yang dari sekolah rendah pun ada. Yang pernah memotong jari dan tangan orang sampai kudung, rempit dll. Sebagai orang yang selalu terperap kat asrama dan rumah macam, saya menganggap hal-hal seperti itu amat luar biasa kerana biasanya perkara sebegitu saya hanya dapat tahu melalui akhbar seperti Harian Metro dan Kosmo. Saya begitu tak sangka hal-hal sebegitu rupa-rupanya begitu dekat dengan saya. 


Apa-apapun, pokonya, mungkin ada segelintir pengarah menganggap pendedahan perkara ini adalah sesuatu yang kononnya mampu membuka mata rakyat dan penonton betapa kerosakan akhlak, mistik, gangsterisme dan berbagai-bagai lagi aneka genre klise filem Malaysia ini sebenarnya telah berleluasa, namun mungkin sesetengah golongan belum dan tak nak ambil tahu.


Boleh jadi juga.


SEMUA PENGARAH NAK BUAT CERITA LUAR BIASA, KATANYA


Secara peribadi, saya tak tahu siapa sebenarnya yang memperkenalkan cerita-cerita sebegitu, ataupun pendedahan kehidupan sebegitu. Namun, pengarah-pengarah tempatan seolah-olah tidak pernah serik memberikan 'pendedahan' tentang betapa dekatnya kita dengan dunia gelap dan mistik. Entah apalah tujuan mereka, nak menakutkan kita ataupun memberi kesedaran sosial kepada kita. Saya sendiri tak tahu setakat manalah kesan 'pendedahan' tersebut berguna kepada kita dari segi sosiobudaya. Yang nampak cuma 'pendedahan' bahagian badan yang tak sepatutnya. Dan kesudahan filem-filem seperti ini biasanya, "inilah balasan aku,' ataupun "aku cuma mampu meminta ampun pada ibu bapaku dan kapada Allah". Berpengajaran sekali karya mereka, ya?


Tidakkah sebenarnya pengarah-pengarah yang mencipta karya-karya sebegini berasa telah banyak orang buat cerita yang sebegitu rupa? Mungkin juga sebenarnya, mereka masih berasa isu-isu seperti ini masih luar biasa dan perlu didedahkan. Kuat betul nampaknya naluri golongan pengarah ni untuk terus "memberi kesedaran". Terima kasih pengarah filem Melayu.


Memang tak tertahan dan terlawan. Saya teringat sebuah filem arahan Namewee, Nasi Lemak 2.0. Ramai yang menggelabah bila dia buat filem, lagi-lagi ada '2.0' di belakang. Siap ada yang buat demonstrasi lagi bantah filem itu ditayangkan. Namun akhirnya, dialah antara segelintir pengarah yang menunjukkan betapa sayangnya dia terhadap Malaysia. Orang Melayu pun tak teringin nak buat cerita macam itu.


Walaubagaimana mandulpun minda pengarah-pengarah ini, mereka masih mampu mengumpul ratusan ribu malah kini mencecah lebih sejuta penonton untuk menonton filem-filem idea streotaip tahap dewa ini.


ORANG SUKA TENGOK, KITA BUAT LA!



Agak sukar nak menghadapi golongan karyawan pencipta karya klise. Namun sebenarnya, lagi sukar nak mengubah minat dan persepsi penonton sendiri. Penonton tempatan umumnya, masih menggemari genre ganas, seram dan romantik. Namun yang penting, filem-filem tersebut mestilah tak membawa mesej berat dan penting, kalau tidak, jangan harap kutipan tayangan nak dapat besar-besar.


Mudahnya macam nilah, berapa ramailah sangat orang kita suka tengok filem macam Children of Heaven, Slumdog Millionaire dll? Jelaslah sekarang betapa minda rakyat kita masih belum cukup berkembang lagi untuk menerima dan mengikuti isu semasa. Pemikiran rakyat kita sebenarnya belum lagi matang, ditambah pula ego yang tidak berasas.

Kesudahannya, kita akan terus 'menikmati' sajian filem klise oleh pengarah-pengarah dan penulis skrip tempatan. Sampai bila? Sampailah orang kita terbuka hati dan minda untuk menonton karya yang lebih matang. Barulah penerbit mata duitan sanggup melabur untuk menerbitkan filem sebegini rupa.


Mulakanlah sokongan kita dengan menunjukkan kematangan sejati dalam memilih.











Friday, October 21, 2011

Pos ke-15 : Kualiti huffaz dan dilema yang dihadapi




Sempurnalah sudah majlis Anugerah al-Huffaz SM Imtiaz Yayasan Terengganu 2011. Walaupun tanpa kehadiran YB Dato' Ahmad, majlis tetap disambut dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan. Bagi para huffaz pula, ini tentulah suatu permulaan baru bagi suatu hidup yang penuh cabaran di samping memikul tanggungjawab yang menawarkan kebaikan, dan mungkin juga memakan diri sendiri, terpulang pada bagaimana huffaz itu sendiri memaknakan 'kehafizannya'.

HUFFAZ ITU...


Ledakan kemunuculan ramai huffaz remaja berpendidkan arus perdana KPM menujukkan satu trend baru pada masa akan datang, yakni corak masyarakat professional yang akan diisi ruangannya oleh para huffaz.

Menrenung kembali realiti hari ini, sejauh manakah para huffaz yang baru dilahirkan ini memenuhi kualiti yang dinginkan oleh dunia mutakhir? Kalaupun tidak dapat memenuhi permintaan transformasi terkini, adakah huffaz itu sendiri memenuhi syarat hafiz, yakni yang dihormati dan disegani sebagai hafiz? Walaupun buat masa ini imej para huffaz masih belum dipersoalkan sebagai isu yang utama memandangkan masih belum terzahir kepentingan dan signifikannya hafiz dalam perkembangan teknologi fizikal dan kebendaan, mampukah huffaz remaja ini menjaga imej mereka dalam pengaruh hedonisme yang membuatkan ramai remaja lalai daripada tugas sebenar di muka bumi ini?

Timbul pula satu lagi persoalan, mungkin, bagaimanakah gambaran sebenar seorang hafiz? Perlukah mereka memakai jubah dan serban ke hulu hilir, tunduk tawaduk berhadapan dengan semua orang? Atau patutkah mereka mengikut arus semasa agar tak ketinggalan di belakang?

UJIAN MEMPERTAHANKAN IDENTITI


Dalam kesempatan ini, suka penulis berkongsi satu pengalaman penulis sebagai hafiz, yang mana ketika itu penulis belum lagi menamatkan hafazan 30 juzuk. Penulis telah ditawarkan untuk menghadiri temuduga pemilihan teraklir untuk program pertukaran pelajar AFS ke Amerika. Dalam kem pemilihan tersebut, penulis berhadapan dengan berbagai situasi yang penulis jarang mengalaminya, hubungan antara lelaki dan perempuan yang hanya berbataskan udara.

Sentuhan fizikal berlainan jantina bukan sahaja menjadi kebiasaan, malah kemestian untuk berinteraksi antara satu sama lain. sehinggakan penulis sendiri pun seolah-olah tak mampu mengelak, dan hanya mengelak sekadar yang mungkin dan mampu sahaja. Akhirnya penulis membuat keputusan untuk menarik diri daripada temuduga tersebut, dengan cara yang sopan.

Mungkin ada yang mendakwa penulis sebagai seorang yang kolot kerana mempersoalkan isu yang remeh temeh sebegini (pada pandangan mereka). Sinilah bermulanya dilema penulis, apabila kita tidak mampu berkomunikasi dengan perempuan (dengan kadar yang mereka inginkan), mereka mendakwa huffaz seorang yang pemalu dan kurang berkeyakinan. Sedangkan apa yang mereka inginkan hanyalah hiburan kosong, bukanlah menyelesaikan sesuatu urusan penting.

SINIS






Kadangkala, terasa agak pelik kerana pelajar huffaz seboleh-bolehnya cuba menjaga imej hafiz mereka sedaya upaya dengan menjaga hubungan berlainan jantina sekadarnya sahaja, sebagaimana yang disarankan oleh guru, tetapi dalam masa yang sama, guru-guru yang sebahagiannya huffaz inilah yang juga duduk bersebalahan ketika minum pagi di kafe. Kadangkala terfikir juga, dah apa yang cikgu tu buat pulak?

Walaupun hal ini mampu ditangani oleh sesetengah hafiz dengan professional. Namun hal ini sebenarnya sedikit sebanyak menimbulkan dilema para huffaz tentang hidupnya pada zaman dewasa nanti. Misalnya seperti "Aku pun jadi camtu jugak ke besar nanti?", "Takpe ke duduk sebelah pompuan bila dah besar, orang tak tengok pelik ke, yelah aku kan hafiz?" dan mungkin juga "Takpela, kat sekolah je cikgu suruh wat camni, jaga ikhtilat camni, nanti dah besar ringan la sikit hukum dia, dah tu tengok tu, cikgu pun wat camtu gak, cikgu tu pun hafiz jugak apa?".

Walaupun mungkin hal ini tidak seserius mana, namun semua pihak dalam bulatan huffaz, tidak kira sama ada yang sudah tamat hafazan ataupun belum, tidak sepatutnya menimbulkan suasana yang menimbulkan pertanyaan orang bawah kita. Huffaz juga sebagai yang memerhati perlulah optimis dan berpegang dengan ajaran dari ilmu yang dituntut, bukan taklid membabi buta semata-mata.

ZAMAN REMAJA


Huffaz remaja, terutamanya yang terdedah dengan pelbagai pilihan media dan rakan sebaya di luar bulatan huffaz terkadang lupa akan hukum, dan pada tahap yang paling teruk, ada juga yang menghalalkan yang haram. Zaman remaja memang sukar dielak keseronokannya. Namun, bagaimanakah situasi ini menjamin adanya beza antara huffaz dengan bukan huffaz suatu hari nanti apabila nanti wujud ramainya huffaz dewasa?

Mungkin ada yang berniat mahu insaf di kemudian hari. Namun, huffaz yang sentiasa memikul tanggungjawab 30 juzuk dalam dadanya haruslah mengambil berat akan isu ini. Wajarkah kita yang diamanahkan Allah, Rasul dan masyarakat menerajui perubahan yang Islamik mengikut arus hiburan? Malah tak cukup dengan itu, ada juga sesetangahnya mempelopori arus hedonis ini.


IMEJ INSTITUSI

Perkara ini, walaupun tidaklah terlalu signifikan kesannya, namun sedikit sebanya menyumbang pada gambaran sinis terhadap huffaz itu sendiri, ibu bapa huffaz, keluarga para huffaz malah institusi al-Quran itu sendiri. Orang awam akan mempersoalkan kredibiliti institusi tersebut, sejauh manakah kualiti huffaz yang dihasilkan, adakah mereka yang akan menerajui perkembangan dunia mutakhir ataupun mereka hanya mengikut arus sahaja? Mereka yang kurang ilmu dan sekular pula akan memperoleh hujah bagi mengiyakan pernyataan "sama sahaja hafiz atau tidak hafiz".

Semua pihak dalam institusi al-Quran haruslah berasa bertanggungjawab dalam menajga imej huffaz, tidak kiralah mereka huffaz atau tidak. Walaupun tidak menghafal al-Quran, pihak seperti guru juga seharusnya memainkan peranan dalam menajag imej institusi huffaz, baik dari segi tutur kata, pemakaian mahupun pergaulan. Ingatlah, tidak bermaksud tidak hafiznya kita, kita terlepas dari hukum dan syariat Islam.

Pendek kata, huffaz yang lahir pada hari ini haruslah menenam azam bagi sentiasa mengingkatkan potensi diri di samping menjaga imej. Yang bukan huffaz juga tidak terkecuali, kerana selagi bergelar muslim, selagi itulah kita diiktiraf sebagai dai, pendakwah, yang perlu sentiasa hidup dan berhujah dengan menggunakan panduan utama, tak lain tak bukan, al-Quran itu sendiri.

Sayangilah al-Quran, moga-moga kita dapat menghayati erti sebenar hidup sebagai muslim yang mukmin.

Insya-Allah.













Saturday, October 15, 2011

Pos ke-14 : Impian, harapan dan cabaran SPM 2011

Target                     : <1.5 (mungkin 1.3)
Pencapaian semasa : 2.68
Perubahan yg perlu : 1.38

Gred Purata Sekolah (GPS) Imtiaz Dungun 2011 ialah/adalah [isikan yang anda rasa patut] berdasarkan pencapaian GPS percubaan dan percubaan tahun lepas, di samping mengambil kira GPS SPM tahun lepas.

Menimbas kembali GPS peperiksaan sebelumnya, generasi 2011 telah menghasilkan GPS permulaan yang agak tinggi, iaitu 4.09. Ada yang menyangka ia suatu petanda kurang baik memandangkan generasi 2010 mencatatkan GPS kurang daripada 4.00 pada peringkat TOV. Namun, secara optimis ia sebenarnya merupakan suatu petanda yang baik bagi memulakan langkah, keranan permulaan yang terlalu baik mungkin akan membebankan sesetengah pihak, terutamanya yang masih berada pada takuk sederhana dan lemah, untuk mereka menonjolkan pengingkatan pada peperiksaan seterusnya.

Tamat OTI 1, generasi ini mencatatkan pencapaian 3.6 (lebih kurang). Pencapaian ini menunjukkan kemampuan generasi ini untuk melonjak lebih gemilang memandangkan keputusan yang dicatat adalah lebih baik daripada OTI 1 2010. Petanda yang agak baik untuk peningkatan yang lebih baik untuk percubaan seterusnya. Mungkin.

Mungkin tidak. GPS trial kini menunjukkan bacaan 2.88, masih satu peningkatan, jika dirujuk pada keputusan OTI 1. Namun realiti tetap hakiki, keputusan ini masih belum cukup baik jika dibandingkan dengan keputusan percubaan tahun lepas, iaitu 2.5 (lebih kurang).

KEPERLUAN PENURUNAN YANG AGAK SUKAR

Tahun lalu, Imtiaz Dungun mensasarkan 2.00 untuk SPM. Hasilnya, GPS 2010 ialah 2.03 (lebih kurang). Kemungkinan kerana masih ada sedikit gred bawah paras C. Peningkatan yang dihasilkan adalah lebih kurang 0.5. Bilangan pelajar yang mencapai semua A juga meningkat daripada  (lebih kurang) kepada 19 orang pada peperiksaan sebenar. Peningkatan yang dicapai ini tidak lain tidak bukan merupakan usaha dan pecutan akhir yang dilaksanakan sepanjang tempoh antara percubaan hingga peperiksaan sebenar.

Berbalik pada keadaan semasa, Imtiaz Dungun mencatatkan 2.8 (lebih kurang) pada percubaan. Merujuk Peningkatan yang dihasilkan pada tahun lalu, tanpa mengambil kira aspek lain, agak sukar mencapai peningkatan sehingga 1.38 dalam tempoh kurang sebulan ini. Bilangan pelajar juga bukan lagi bawah 100, malah 118 untuk tahun ini. Keajaiban sememngnya satu kemungkinan. Mungkin jadi, mungkin juga tidak.

PERBANDINGAN

Merujuk ranking pula, kedudukan Imtiaz Dungun antara sekolah di Terengganu kekal pada tempat kedua, selepas SMKA Sheikh Abdul Malek dengan perbezaan hampir 0.2. Satu petanda yang mungkin agak baik jika skop persaingan Imtiaz Dungun hanyalah antara imtiaz sahaja jika dibandingkan dengan tahun lepas yang mana Imtiaz Kuala Terengganu menduduki tempat pertama.

Namun, lingkungan persaingan yang disetkan Imtiaz Dungun ialah seluruh Terengganu, dan Imtiaz Dungun diakalah oleh SHAMS, sekolah yang jarang dapat memintas Imtiaz Dungun dalam peperiksaan biasa mahupun ketika SPM. Umum diketahui bahwa bilangan pelajar semua A dari SHAMS sentiasa lebih ramai daripada Imtiaz Dungun. Namun, apa yang mebezakan kedua-duanya? Itulah ia pencapaian minimum.

Mungkin dahulu SHAMS kurang mengambil berat akan pelajar yang hanya mencapai taraf minimum. Namun kini, SHAMS kini mampu mengawal kawsan yang paling sukar dikawal. Sebaik sahaja SHAMS mampu menawan kekangan paling besar, iaitu golongan berpencapaian minimum, SHAMS kini tidak mempunyai masalah yang besar untuk mengawal GPS-nya sendiri. Bila-bila masa sahaja SHAMS boleh menduduki takhta no.1 SPM 2011 Terengganu. Memerhati pula yang mengekori rapat, SMAASZA, perlu diingat bahwa sekolah ini pernah mengalahkan Imtiaz Dungun pada tahun 2010 dengan menduduki tempat ketiga dalam Terengganu yang mana Imtiaz Dungun hanya berjaya menempatkan dirinya pada kedudukan keempat sahaja.

IMPIAN HARAPAN DAN CABARAN 2011 


Berdasarkan analisis yang dikongsi sebentar tadi, hasrat melihat pencapaian terbaik Terengganu bagi Imtiaz adalah masih jauh. Program masih dijalankan bagi menambah pecutan pada saat-saat akhir ini bagi mengurangkan kemustahilan yang berlegar-legar dalam minda yang menganalisis. Namun, kemustahilan yang cuba diatasi bersungguh-sungguh hanya merupakan tanggapan abstrak yang tidak mempunyai parameter khusus, apatah lagi magnitud yang konkrit.

Perubahan ini sebenarnya perlu digerakkan oleh pelajar sendiri memandangkan mereka yang akan menduduki arena terbesar 2011 tersebut. Laungan Gegar Gemilang! yang bergegar dialaungkan setiap hari. Manifestasinya, mungkin masih belum terzahir  jika dibandingkan dengan keperluan peningkatan untu SPM yang bakal menjelang lebih kurang 28 hari lagi dari hari pos ini ditulis.

Buat/masa ini, motivasi bukanlah isu utama. Yang paling penting ialah mengetahui pada takat manakah kita kini, tidak kira dari aspek pencapaian peperiksaan, pemahaman mahupun kedperluan yang masih belum dipenuhi sepenuhnya. Skil menjawab telah disuap bertubi-tubi, tidak kira daripada GC dan Guru Pakar mahupun guru AKRAM sendiri. Berputus asa dalam zon ini adalah sangat berbahaya memandangkan pecutan yang sedang dialami adalah sangat tinggi, walaupun mungkin tidak cukup untuk membelah taufan target GPS 1.3.

Keputusan muktamad terletak pada calon 11A+ SPM 2011 Imtiaz Dungun sendiri. Apakah yang bakal mereka pilih?  Yang pasti, pilihan individu calon-calon ialah keputusan komposit SM Imtiaz Dungun 2011. Seorang pun tidak dibenarkan untuk terlepas pandang perkara ini, apatah lagi untuk leka dibuai impian melangit tinggi.

Pilihlah, Manifestasikan pilihan anda. Mac 2012 menanti anda. Andalah pilihan anda.

Ikhlas sempena 30 hari menjelang SPM 2011 (walaupun sebenarnya tinggal 28 hari lagi)