Wednesday, March 28, 2012

Pos ke-16 : Luar Biasa yang Klise Mencetuskan Klise Luar Biasa


Bermula tahun lepas, kita dapat lihat senario baharu di Malaysia yang mana berlaku lambakan filem bergenre yang lebih kurang semuanya, dari seram, komedi seram, rempit hinggalah ke gangsterisme. Tapi entahlah kenapa industri kita seolah-olah terhad pada genre-genre ini sahaja. Fenomena ini, secara intelektualnya, jelas menonjolkan kemandulan minda pengarah dan penulis skrip, dan yang menyumbang idea (kalau idea yang diulang-ulang itu masih boleh digelar idea). Atau mungkin bagi mereka itu sesuatu yang masih luar biasa pada pandangan rakyat marhaen yang menjalani kehidupan normal. hai


LUAR BIASA BAGI ORANG BIASA-BIASA, MUNGKIN...


Berkaitan dengan "orang biasa tak tahu benda mistik/ganas macam ni" atau "dia orang ni orang luar, tak tahu dunia kita", saya juga sebenarnya ada mengalami situasi yang lebih kurang serupa.


Sewaktu bekerja sebagai pengawal keselamatan sementara menunggu keputusan SPM, saya boleh dikatakan sempat 'membuat kawan' dgn beberapa rakan sekerja yang kononnya banyak mengetahui tentang dunia mistik dan dunia gelap masyarakat Malaysia, khususnya berkaitan orang muda. Walaupun saya kurang berminat, namun secara jujurnya saya agak berminat tentang sesetengah ceritanya, dan salah satu yang saya ingat adalah tentang rantai babi tunggal.


Rantai babi tunggal ini katanya, kalau dipakai, buat si pemakai itu jadi kebal, secara fizikalnya. Rantai itu sebenarnya maya, namun dapat dilihat ketika babi yang dikatakan memakai rantai itu menanggalkannya untuk mandi Seterusnya, biasalah, ada la hidangan yang perlu dijamu sama ada hidangan hakiki mahupun rohani,mungkin. Saya tak bertanya lanjut tentang itu.

Selain itu saya juga ada mengenali rakan sekerja saya yang pernah melakukan hubungan seks seawal Tingkatan 5. Ada juga Tingkatan 1. Malah, yang dari sekolah rendah pun ada. Yang pernah memotong jari dan tangan orang sampai kudung, rempit dll. Sebagai orang yang selalu terperap kat asrama dan rumah macam, saya menganggap hal-hal seperti itu amat luar biasa kerana biasanya perkara sebegitu saya hanya dapat tahu melalui akhbar seperti Harian Metro dan Kosmo. Saya begitu tak sangka hal-hal sebegitu rupa-rupanya begitu dekat dengan saya. 


Apa-apapun, pokonya, mungkin ada segelintir pengarah menganggap pendedahan perkara ini adalah sesuatu yang kononnya mampu membuka mata rakyat dan penonton betapa kerosakan akhlak, mistik, gangsterisme dan berbagai-bagai lagi aneka genre klise filem Malaysia ini sebenarnya telah berleluasa, namun mungkin sesetengah golongan belum dan tak nak ambil tahu.


Boleh jadi juga.


SEMUA PENGARAH NAK BUAT CERITA LUAR BIASA, KATANYA


Secara peribadi, saya tak tahu siapa sebenarnya yang memperkenalkan cerita-cerita sebegitu, ataupun pendedahan kehidupan sebegitu. Namun, pengarah-pengarah tempatan seolah-olah tidak pernah serik memberikan 'pendedahan' tentang betapa dekatnya kita dengan dunia gelap dan mistik. Entah apalah tujuan mereka, nak menakutkan kita ataupun memberi kesedaran sosial kepada kita. Saya sendiri tak tahu setakat manalah kesan 'pendedahan' tersebut berguna kepada kita dari segi sosiobudaya. Yang nampak cuma 'pendedahan' bahagian badan yang tak sepatutnya. Dan kesudahan filem-filem seperti ini biasanya, "inilah balasan aku,' ataupun "aku cuma mampu meminta ampun pada ibu bapaku dan kapada Allah". Berpengajaran sekali karya mereka, ya?


Tidakkah sebenarnya pengarah-pengarah yang mencipta karya-karya sebegini berasa telah banyak orang buat cerita yang sebegitu rupa? Mungkin juga sebenarnya, mereka masih berasa isu-isu seperti ini masih luar biasa dan perlu didedahkan. Kuat betul nampaknya naluri golongan pengarah ni untuk terus "memberi kesedaran". Terima kasih pengarah filem Melayu.


Memang tak tertahan dan terlawan. Saya teringat sebuah filem arahan Namewee, Nasi Lemak 2.0. Ramai yang menggelabah bila dia buat filem, lagi-lagi ada '2.0' di belakang. Siap ada yang buat demonstrasi lagi bantah filem itu ditayangkan. Namun akhirnya, dialah antara segelintir pengarah yang menunjukkan betapa sayangnya dia terhadap Malaysia. Orang Melayu pun tak teringin nak buat cerita macam itu.


Walaubagaimana mandulpun minda pengarah-pengarah ini, mereka masih mampu mengumpul ratusan ribu malah kini mencecah lebih sejuta penonton untuk menonton filem-filem idea streotaip tahap dewa ini.


ORANG SUKA TENGOK, KITA BUAT LA!



Agak sukar nak menghadapi golongan karyawan pencipta karya klise. Namun sebenarnya, lagi sukar nak mengubah minat dan persepsi penonton sendiri. Penonton tempatan umumnya, masih menggemari genre ganas, seram dan romantik. Namun yang penting, filem-filem tersebut mestilah tak membawa mesej berat dan penting, kalau tidak, jangan harap kutipan tayangan nak dapat besar-besar.


Mudahnya macam nilah, berapa ramailah sangat orang kita suka tengok filem macam Children of Heaven, Slumdog Millionaire dll? Jelaslah sekarang betapa minda rakyat kita masih belum cukup berkembang lagi untuk menerima dan mengikuti isu semasa. Pemikiran rakyat kita sebenarnya belum lagi matang, ditambah pula ego yang tidak berasas.

Kesudahannya, kita akan terus 'menikmati' sajian filem klise oleh pengarah-pengarah dan penulis skrip tempatan. Sampai bila? Sampailah orang kita terbuka hati dan minda untuk menonton karya yang lebih matang. Barulah penerbit mata duitan sanggup melabur untuk menerbitkan filem sebegini rupa.


Mulakanlah sokongan kita dengan menunjukkan kematangan sejati dalam memilih.











Friday, October 21, 2011

Pos ke-15 : Kualiti huffaz dan dilema yang dihadapi




Sempurnalah sudah majlis Anugerah al-Huffaz SM Imtiaz Yayasan Terengganu 2011. Walaupun tanpa kehadiran YB Dato' Ahmad, majlis tetap disambut dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan. Bagi para huffaz pula, ini tentulah suatu permulaan baru bagi suatu hidup yang penuh cabaran di samping memikul tanggungjawab yang menawarkan kebaikan, dan mungkin juga memakan diri sendiri, terpulang pada bagaimana huffaz itu sendiri memaknakan 'kehafizannya'.

HUFFAZ ITU...


Ledakan kemunuculan ramai huffaz remaja berpendidkan arus perdana KPM menujukkan satu trend baru pada masa akan datang, yakni corak masyarakat professional yang akan diisi ruangannya oleh para huffaz.

Menrenung kembali realiti hari ini, sejauh manakah para huffaz yang baru dilahirkan ini memenuhi kualiti yang dinginkan oleh dunia mutakhir? Kalaupun tidak dapat memenuhi permintaan transformasi terkini, adakah huffaz itu sendiri memenuhi syarat hafiz, yakni yang dihormati dan disegani sebagai hafiz? Walaupun buat masa ini imej para huffaz masih belum dipersoalkan sebagai isu yang utama memandangkan masih belum terzahir kepentingan dan signifikannya hafiz dalam perkembangan teknologi fizikal dan kebendaan, mampukah huffaz remaja ini menjaga imej mereka dalam pengaruh hedonisme yang membuatkan ramai remaja lalai daripada tugas sebenar di muka bumi ini?

Timbul pula satu lagi persoalan, mungkin, bagaimanakah gambaran sebenar seorang hafiz? Perlukah mereka memakai jubah dan serban ke hulu hilir, tunduk tawaduk berhadapan dengan semua orang? Atau patutkah mereka mengikut arus semasa agar tak ketinggalan di belakang?

UJIAN MEMPERTAHANKAN IDENTITI


Dalam kesempatan ini, suka penulis berkongsi satu pengalaman penulis sebagai hafiz, yang mana ketika itu penulis belum lagi menamatkan hafazan 30 juzuk. Penulis telah ditawarkan untuk menghadiri temuduga pemilihan teraklir untuk program pertukaran pelajar AFS ke Amerika. Dalam kem pemilihan tersebut, penulis berhadapan dengan berbagai situasi yang penulis jarang mengalaminya, hubungan antara lelaki dan perempuan yang hanya berbataskan udara.

Sentuhan fizikal berlainan jantina bukan sahaja menjadi kebiasaan, malah kemestian untuk berinteraksi antara satu sama lain. sehinggakan penulis sendiri pun seolah-olah tak mampu mengelak, dan hanya mengelak sekadar yang mungkin dan mampu sahaja. Akhirnya penulis membuat keputusan untuk menarik diri daripada temuduga tersebut, dengan cara yang sopan.

Mungkin ada yang mendakwa penulis sebagai seorang yang kolot kerana mempersoalkan isu yang remeh temeh sebegini (pada pandangan mereka). Sinilah bermulanya dilema penulis, apabila kita tidak mampu berkomunikasi dengan perempuan (dengan kadar yang mereka inginkan), mereka mendakwa huffaz seorang yang pemalu dan kurang berkeyakinan. Sedangkan apa yang mereka inginkan hanyalah hiburan kosong, bukanlah menyelesaikan sesuatu urusan penting.

SINIS






Kadangkala, terasa agak pelik kerana pelajar huffaz seboleh-bolehnya cuba menjaga imej hafiz mereka sedaya upaya dengan menjaga hubungan berlainan jantina sekadarnya sahaja, sebagaimana yang disarankan oleh guru, tetapi dalam masa yang sama, guru-guru yang sebahagiannya huffaz inilah yang juga duduk bersebalahan ketika minum pagi di kafe. Kadangkala terfikir juga, dah apa yang cikgu tu buat pulak?

Walaupun hal ini mampu ditangani oleh sesetengah hafiz dengan professional. Namun hal ini sebenarnya sedikit sebanyak menimbulkan dilema para huffaz tentang hidupnya pada zaman dewasa nanti. Misalnya seperti "Aku pun jadi camtu jugak ke besar nanti?", "Takpe ke duduk sebelah pompuan bila dah besar, orang tak tengok pelik ke, yelah aku kan hafiz?" dan mungkin juga "Takpela, kat sekolah je cikgu suruh wat camni, jaga ikhtilat camni, nanti dah besar ringan la sikit hukum dia, dah tu tengok tu, cikgu pun wat camtu gak, cikgu tu pun hafiz jugak apa?".

Walaupun mungkin hal ini tidak seserius mana, namun semua pihak dalam bulatan huffaz, tidak kira sama ada yang sudah tamat hafazan ataupun belum, tidak sepatutnya menimbulkan suasana yang menimbulkan pertanyaan orang bawah kita. Huffaz juga sebagai yang memerhati perlulah optimis dan berpegang dengan ajaran dari ilmu yang dituntut, bukan taklid membabi buta semata-mata.

ZAMAN REMAJA


Huffaz remaja, terutamanya yang terdedah dengan pelbagai pilihan media dan rakan sebaya di luar bulatan huffaz terkadang lupa akan hukum, dan pada tahap yang paling teruk, ada juga yang menghalalkan yang haram. Zaman remaja memang sukar dielak keseronokannya. Namun, bagaimanakah situasi ini menjamin adanya beza antara huffaz dengan bukan huffaz suatu hari nanti apabila nanti wujud ramainya huffaz dewasa?

Mungkin ada yang berniat mahu insaf di kemudian hari. Namun, huffaz yang sentiasa memikul tanggungjawab 30 juzuk dalam dadanya haruslah mengambil berat akan isu ini. Wajarkah kita yang diamanahkan Allah, Rasul dan masyarakat menerajui perubahan yang Islamik mengikut arus hiburan? Malah tak cukup dengan itu, ada juga sesetangahnya mempelopori arus hedonis ini.


IMEJ INSTITUSI

Perkara ini, walaupun tidaklah terlalu signifikan kesannya, namun sedikit sebanya menyumbang pada gambaran sinis terhadap huffaz itu sendiri, ibu bapa huffaz, keluarga para huffaz malah institusi al-Quran itu sendiri. Orang awam akan mempersoalkan kredibiliti institusi tersebut, sejauh manakah kualiti huffaz yang dihasilkan, adakah mereka yang akan menerajui perkembangan dunia mutakhir ataupun mereka hanya mengikut arus sahaja? Mereka yang kurang ilmu dan sekular pula akan memperoleh hujah bagi mengiyakan pernyataan "sama sahaja hafiz atau tidak hafiz".

Semua pihak dalam institusi al-Quran haruslah berasa bertanggungjawab dalam menajga imej huffaz, tidak kiralah mereka huffaz atau tidak. Walaupun tidak menghafal al-Quran, pihak seperti guru juga seharusnya memainkan peranan dalam menajag imej institusi huffaz, baik dari segi tutur kata, pemakaian mahupun pergaulan. Ingatlah, tidak bermaksud tidak hafiznya kita, kita terlepas dari hukum dan syariat Islam.

Pendek kata, huffaz yang lahir pada hari ini haruslah menenam azam bagi sentiasa mengingkatkan potensi diri di samping menjaga imej. Yang bukan huffaz juga tidak terkecuali, kerana selagi bergelar muslim, selagi itulah kita diiktiraf sebagai dai, pendakwah, yang perlu sentiasa hidup dan berhujah dengan menggunakan panduan utama, tak lain tak bukan, al-Quran itu sendiri.

Sayangilah al-Quran, moga-moga kita dapat menghayati erti sebenar hidup sebagai muslim yang mukmin.

Insya-Allah.