Bermula
tahun lepas, kita dapat lihat senario baharu di Malaysia yang mana
berlaku lambakan filem bergenre yang lebih kurang semuanya, dari seram,
komedi seram, rempit hinggalah ke gangsterisme. Tapi entahlah kenapa
industri kita seolah-olah terhad pada genre-genre ini sahaja. Fenomena
ini, secara intelektualnya, jelas menonjolkan kemandulan minda pengarah
dan penulis skrip, dan yang menyumbang idea (kalau idea yang
diulang-ulang itu masih boleh digelar idea). Atau mungkin bagi mereka
itu sesuatu yang masih luar biasa pada pandangan rakyat marhaen yang
menjalani kehidupan normal. hai
LUAR BIASA BAGI ORANG BIASA-BIASA, MUNGKIN...
Berkaitan dengan "orang biasa tak tahu benda mistik/ganas macam
ni" atau "dia orang ni orang luar, tak tahu dunia kita", saya juga
sebenarnya ada mengalami situasi yang lebih kurang serupa.
Sewaktu bekerja sebagai pengawal keselamatan sementara menunggu
keputusan SPM, saya boleh dikatakan sempat 'membuat kawan' dgn beberapa
rakan sekerja yang kononnya banyak mengetahui tentang dunia mistik dan
dunia gelap masyarakat Malaysia, khususnya berkaitan orang muda.
Walaupun saya kurang berminat, namun secara jujurnya saya agak berminat
tentang sesetengah ceritanya, dan salah satu yang saya ingat adalah
tentang rantai babi tunggal.
Rantai babi tunggal ini katanya, kalau dipakai, buat si pemakai
itu jadi kebal, secara fizikalnya. Rantai itu sebenarnya maya, namun
dapat dilihat ketika babi yang dikatakan memakai rantai itu
menanggalkannya untuk mandi Seterusnya, biasalah, ada la hidangan yang
perlu dijamu sama ada hidangan hakiki mahupun rohani,mungkin. Saya tak
bertanya lanjut tentang itu.
Selain itu saya juga ada
mengenali rakan sekerja saya yang pernah melakukan hubungan seks seawal
Tingkatan 5. Ada juga Tingkatan 1. Malah, yang dari sekolah rendah pun
ada. Yang pernah memotong jari dan tangan orang sampai kudung, rempit
dll. Sebagai orang yang selalu terperap kat asrama dan rumah macam, saya
menganggap hal-hal seperti itu amat luar biasa kerana biasanya perkara
sebegitu saya hanya dapat tahu melalui akhbar seperti Harian Metro dan
Kosmo. Saya begitu tak sangka hal-hal sebegitu rupa-rupanya begitu dekat
dengan saya.
Apa-apapun, pokonya, mungkin ada segelintir pengarah
menganggap pendedahan perkara ini adalah sesuatu yang kononnya mampu
membuka mata rakyat dan penonton betapa kerosakan akhlak, mistik,
gangsterisme dan berbagai-bagai lagi aneka genre klise filem Malaysia
ini sebenarnya telah berleluasa, namun mungkin sesetengah golongan belum
dan tak nak ambil tahu.
Boleh jadi juga.
SEMUA PENGARAH NAK BUAT CERITA LUAR BIASA, KATANYA
Secara peribadi, saya tak tahu siapa sebenarnya yang
memperkenalkan cerita-cerita sebegitu, ataupun pendedahan kehidupan
sebegitu. Namun, pengarah-pengarah tempatan seolah-olah tidak pernah
serik memberikan 'pendedahan' tentang betapa dekatnya kita dengan dunia
gelap dan mistik. Entah apalah tujuan mereka, nak menakutkan kita
ataupun memberi kesedaran sosial kepada kita. Saya sendiri tak tahu
setakat manalah kesan 'pendedahan' tersebut berguna kepada kita dari
segi sosiobudaya. Yang nampak cuma 'pendedahan' bahagian badan yang tak
sepatutnya. Dan kesudahan filem-filem seperti ini biasanya, "inilah
balasan aku,' ataupun "aku cuma mampu meminta ampun pada ibu bapaku dan
kapada Allah". Berpengajaran sekali karya mereka, ya?
Tidakkah sebenarnya pengarah-pengarah yang mencipta karya-karya
sebegini berasa telah banyak orang buat cerita yang sebegitu rupa?
Mungkin juga sebenarnya, mereka masih berasa isu-isu seperti ini masih
luar biasa dan perlu didedahkan. Kuat betul nampaknya naluri golongan
pengarah ni untuk terus "memberi kesedaran". Terima kasih pengarah filem
Melayu.
Memang tak tertahan dan terlawan. Saya teringat sebuah filem
arahan Namewee, Nasi Lemak 2.0. Ramai yang menggelabah bila dia buat
filem, lagi-lagi ada '2.0' di belakang. Siap ada yang buat demonstrasi
lagi bantah filem itu ditayangkan. Namun akhirnya, dialah antara
segelintir pengarah yang menunjukkan betapa sayangnya dia terhadap
Malaysia. Orang Melayu pun tak teringin nak buat cerita macam itu.
Walaubagaimana mandulpun minda pengarah-pengarah ini, mereka
masih mampu mengumpul ratusan ribu malah kini mencecah lebih sejuta
penonton untuk menonton filem-filem idea streotaip tahap dewa ini.
ORANG SUKA TENGOK, KITA BUAT LA!
Agak sukar nak menghadapi golongan karyawan pencipta karya klise.
Namun sebenarnya, lagi sukar nak mengubah minat dan persepsi penonton
sendiri. Penonton tempatan umumnya, masih menggemari genre ganas, seram
dan romantik. Namun yang penting, filem-filem tersebut mestilah tak
membawa mesej berat dan penting, kalau tidak, jangan harap kutipan
tayangan nak dapat besar-besar.
Mudahnya macam nilah, berapa ramailah sangat orang kita suka
tengok filem macam Children of Heaven, Slumdog Millionaire dll? Jelaslah
sekarang betapa minda rakyat kita masih belum cukup berkembang lagi
untuk menerima dan mengikuti isu semasa. Pemikiran rakyat kita
sebenarnya belum lagi matang, ditambah pula ego yang tidak berasas.
Kesudahannya,
kita akan terus 'menikmati' sajian filem klise oleh pengarah-pengarah
dan penulis skrip tempatan. Sampai bila? Sampailah orang kita terbuka
hati dan minda untuk menonton karya yang lebih matang. Barulah penerbit
mata duitan sanggup melabur untuk menerbitkan filem sebegini rupa.
Mulakanlah sokongan kita dengan menunjukkan kematangan sejati dalam memilih.