Friday, October 21, 2011

Pos ke-15 : Kualiti huffaz dan dilema yang dihadapi




Sempurnalah sudah majlis Anugerah al-Huffaz SM Imtiaz Yayasan Terengganu 2011. Walaupun tanpa kehadiran YB Dato' Ahmad, majlis tetap disambut dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan. Bagi para huffaz pula, ini tentulah suatu permulaan baru bagi suatu hidup yang penuh cabaran di samping memikul tanggungjawab yang menawarkan kebaikan, dan mungkin juga memakan diri sendiri, terpulang pada bagaimana huffaz itu sendiri memaknakan 'kehafizannya'.

HUFFAZ ITU...


Ledakan kemunuculan ramai huffaz remaja berpendidkan arus perdana KPM menujukkan satu trend baru pada masa akan datang, yakni corak masyarakat professional yang akan diisi ruangannya oleh para huffaz.

Menrenung kembali realiti hari ini, sejauh manakah para huffaz yang baru dilahirkan ini memenuhi kualiti yang dinginkan oleh dunia mutakhir? Kalaupun tidak dapat memenuhi permintaan transformasi terkini, adakah huffaz itu sendiri memenuhi syarat hafiz, yakni yang dihormati dan disegani sebagai hafiz? Walaupun buat masa ini imej para huffaz masih belum dipersoalkan sebagai isu yang utama memandangkan masih belum terzahir kepentingan dan signifikannya hafiz dalam perkembangan teknologi fizikal dan kebendaan, mampukah huffaz remaja ini menjaga imej mereka dalam pengaruh hedonisme yang membuatkan ramai remaja lalai daripada tugas sebenar di muka bumi ini?

Timbul pula satu lagi persoalan, mungkin, bagaimanakah gambaran sebenar seorang hafiz? Perlukah mereka memakai jubah dan serban ke hulu hilir, tunduk tawaduk berhadapan dengan semua orang? Atau patutkah mereka mengikut arus semasa agar tak ketinggalan di belakang?

UJIAN MEMPERTAHANKAN IDENTITI


Dalam kesempatan ini, suka penulis berkongsi satu pengalaman penulis sebagai hafiz, yang mana ketika itu penulis belum lagi menamatkan hafazan 30 juzuk. Penulis telah ditawarkan untuk menghadiri temuduga pemilihan teraklir untuk program pertukaran pelajar AFS ke Amerika. Dalam kem pemilihan tersebut, penulis berhadapan dengan berbagai situasi yang penulis jarang mengalaminya, hubungan antara lelaki dan perempuan yang hanya berbataskan udara.

Sentuhan fizikal berlainan jantina bukan sahaja menjadi kebiasaan, malah kemestian untuk berinteraksi antara satu sama lain. sehinggakan penulis sendiri pun seolah-olah tak mampu mengelak, dan hanya mengelak sekadar yang mungkin dan mampu sahaja. Akhirnya penulis membuat keputusan untuk menarik diri daripada temuduga tersebut, dengan cara yang sopan.

Mungkin ada yang mendakwa penulis sebagai seorang yang kolot kerana mempersoalkan isu yang remeh temeh sebegini (pada pandangan mereka). Sinilah bermulanya dilema penulis, apabila kita tidak mampu berkomunikasi dengan perempuan (dengan kadar yang mereka inginkan), mereka mendakwa huffaz seorang yang pemalu dan kurang berkeyakinan. Sedangkan apa yang mereka inginkan hanyalah hiburan kosong, bukanlah menyelesaikan sesuatu urusan penting.

SINIS






Kadangkala, terasa agak pelik kerana pelajar huffaz seboleh-bolehnya cuba menjaga imej hafiz mereka sedaya upaya dengan menjaga hubungan berlainan jantina sekadarnya sahaja, sebagaimana yang disarankan oleh guru, tetapi dalam masa yang sama, guru-guru yang sebahagiannya huffaz inilah yang juga duduk bersebalahan ketika minum pagi di kafe. Kadangkala terfikir juga, dah apa yang cikgu tu buat pulak?

Walaupun hal ini mampu ditangani oleh sesetengah hafiz dengan professional. Namun hal ini sebenarnya sedikit sebanyak menimbulkan dilema para huffaz tentang hidupnya pada zaman dewasa nanti. Misalnya seperti "Aku pun jadi camtu jugak ke besar nanti?", "Takpe ke duduk sebelah pompuan bila dah besar, orang tak tengok pelik ke, yelah aku kan hafiz?" dan mungkin juga "Takpela, kat sekolah je cikgu suruh wat camni, jaga ikhtilat camni, nanti dah besar ringan la sikit hukum dia, dah tu tengok tu, cikgu pun wat camtu gak, cikgu tu pun hafiz jugak apa?".

Walaupun mungkin hal ini tidak seserius mana, namun semua pihak dalam bulatan huffaz, tidak kira sama ada yang sudah tamat hafazan ataupun belum, tidak sepatutnya menimbulkan suasana yang menimbulkan pertanyaan orang bawah kita. Huffaz juga sebagai yang memerhati perlulah optimis dan berpegang dengan ajaran dari ilmu yang dituntut, bukan taklid membabi buta semata-mata.

ZAMAN REMAJA


Huffaz remaja, terutamanya yang terdedah dengan pelbagai pilihan media dan rakan sebaya di luar bulatan huffaz terkadang lupa akan hukum, dan pada tahap yang paling teruk, ada juga yang menghalalkan yang haram. Zaman remaja memang sukar dielak keseronokannya. Namun, bagaimanakah situasi ini menjamin adanya beza antara huffaz dengan bukan huffaz suatu hari nanti apabila nanti wujud ramainya huffaz dewasa?

Mungkin ada yang berniat mahu insaf di kemudian hari. Namun, huffaz yang sentiasa memikul tanggungjawab 30 juzuk dalam dadanya haruslah mengambil berat akan isu ini. Wajarkah kita yang diamanahkan Allah, Rasul dan masyarakat menerajui perubahan yang Islamik mengikut arus hiburan? Malah tak cukup dengan itu, ada juga sesetangahnya mempelopori arus hedonis ini.


IMEJ INSTITUSI

Perkara ini, walaupun tidaklah terlalu signifikan kesannya, namun sedikit sebanya menyumbang pada gambaran sinis terhadap huffaz itu sendiri, ibu bapa huffaz, keluarga para huffaz malah institusi al-Quran itu sendiri. Orang awam akan mempersoalkan kredibiliti institusi tersebut, sejauh manakah kualiti huffaz yang dihasilkan, adakah mereka yang akan menerajui perkembangan dunia mutakhir ataupun mereka hanya mengikut arus sahaja? Mereka yang kurang ilmu dan sekular pula akan memperoleh hujah bagi mengiyakan pernyataan "sama sahaja hafiz atau tidak hafiz".

Semua pihak dalam institusi al-Quran haruslah berasa bertanggungjawab dalam menajga imej huffaz, tidak kiralah mereka huffaz atau tidak. Walaupun tidak menghafal al-Quran, pihak seperti guru juga seharusnya memainkan peranan dalam menajag imej institusi huffaz, baik dari segi tutur kata, pemakaian mahupun pergaulan. Ingatlah, tidak bermaksud tidak hafiznya kita, kita terlepas dari hukum dan syariat Islam.

Pendek kata, huffaz yang lahir pada hari ini haruslah menenam azam bagi sentiasa mengingkatkan potensi diri di samping menjaga imej. Yang bukan huffaz juga tidak terkecuali, kerana selagi bergelar muslim, selagi itulah kita diiktiraf sebagai dai, pendakwah, yang perlu sentiasa hidup dan berhujah dengan menggunakan panduan utama, tak lain tak bukan, al-Quran itu sendiri.

Sayangilah al-Quran, moga-moga kita dapat menghayati erti sebenar hidup sebagai muslim yang mukmin.

Insya-Allah.













No comments: